Hari ini aku termenung memikirkan perjalanan panjang sebagai seorang guru. Sudah 14 tahun aku berkhidmat dalam dunia pendidikan ini. Masa yang berlalu begitu pantas, namun penuh dengan pelbagai pengalaman berharga.
Aku mula melangkah ke dunia ini dengan ilmu yang hampir kosong, hanya bekalan semangat dan cita-cita untuk mendidik anak bangsa. Sedikit demi sedikit, aku belajar. Pengalaman menjadi guruku, dan setiap hari aku bertambah dewasa, bukan hanya sebagai seorang pendidik tetapi juga sebagai manusia.
Dalam perjalanan ini, aku bertemu pelbagai jenis manusia. Ada yang mencabar kesabaran, ada yang menjadi inspirasi, dan ada juga yang membuatkan aku merenung kembali erti tanggungjawab. Aku belajar memahami ragam anak murid yang berbeza latar belakang, menghadapi rakan sekerja dengan cara kerja masing-masing, dan berhadapan dengan pelbagai kerenah.
Namun, di sebalik cabaran itu, aku bersyukur. Syukur kerana sepanjang perjalanan ini, aku dipertemukan dengan rakan-rakan yang luar biasa. Mereka yang menyokong, memberi semangat, dan menjadi sahabat sejati. Walaupun kami datang dari pelbagai latar belakang, persahabatan kami seperti keluarga.
Setiap pertemuan membawa makna, dan setiap perpisahan meninggalkan kesan mendalam. Walaupun berat, aku tahu ia adalah adat manusia. Bertemu dan berpisah. Apa yang tinggal hanyalah kenangan dan doa agar setiap insan yang pernah hadir dalam hidupku terus berjaya dalam kehidupan mereka.
Dunia pendidikan ini bukan sekadar tempat aku bekerja. Ia adalah medan di mana aku membina hidup, mengukir memori, dan mencipta impak. Alhamdulillah syukur padamu Ya Allah, atas setiap detik yang Kau izinkan aku lalui. Aku akan terus melangkah dengan semangat yang sama, selagi kudrat ini masih mampu berbakti.
Catatan ini untuk mengenang perjalanan yang tidak pernah aku kesali.
Terima kasih SK Merlimau Dua. Kini, aku mohon untuk mengundur diri. 🫡 Ada masa, kita berjumpa lagi. Inshallah.
Post a Comment